Wednesday, May 12, 2010
Review Bila Allah Menduga Kita - Najibah
Review Bila Allah Menduga Kita
by Najibah
Saya menerima buku Bila Allah Menduga Kita daripada penulisnya, Tuan Syed Alwi Alatas, menjelang makan tengahari hari Khamis 11 Februari 2010, dengan sepotong janji. Beliau minta buku ini diulas di blog, beserta pesannya “tak perlu khawatir, saya akan menerima review yang diberikan, walau banyak kritik sekalipun.” Ini tugas sukar saya kira, bagaimana mengkritik sebuah buku yang telah dihadiahkan oleh penulisnya sendiri? Bagaimana saya dapat membendung kecenderungan biasa dalam hati manusia untuk terhutang budi pada si pemberi?
Namun Allah mempunyai aturannya sendiri. Buku yang saya tatap beberapa halaman pertamanya ketika waktu rehat 11 haribulan itu, rupanya menjadi bekal yang sangat penting menjelang petang dan malam harinya. Sekitar waktu Asar Khamis itu, saya menerima berita dari kakak sulung. Seorang adik sepupu yang sedang menuntut di UiTM Seri Iskandar, telah ditimpa kemalangan jalan raya dalam perjalanan pulang menyiapkan tugasan akademik dengan rakan-rakannya.
Saya bergegas pulang sebaik sahaja tamat waktu kerja, mencongak sama ada perlu ke Hospital Batu Gajah sebaik tiba di rumah, atau menunggu berita terkini keadaannya dari abang-abangnya yang sedang memandu ke sana. Namun dalam perjalanan, berita yang lebih memedihkan akhirnya tiba. Adik sepupu saya, telah dipanggil pulang oleh Allah. Pada usia 20 tahun.
Malam itu sanak-saudara memenuhi perkarangan bilik mayat Hospital Batu Gajah. Kami tiba saat jenazah sedang dimandikan, sempat turut serta mengafan dan mengucupnya sebelum disembahyangkan. Saya lihat wajah tabah ibu saudara saya, tidak ada air mata melinangi pipinya, dan ucapnya pada saya, dia reda. Saya cuba gambarkan diri di tempatnya, bagaimana kalau yang disembahyangkan itu anak saya, apakah saya bersedia?
Itulah sekilas inti buku Bila Allah Menduga Kita, yang sempat saya baca beberapa halaman, muncul semula dalam fikiran saya di sisi jenazah. Apakah saya bersedia jika dugaan Allah menimpa saya waktu itu, saat itu juga? Dan menurut pengarangnya, tidak ada yang lebih penting saat kita menerima dugaan, tidak kira dugaan nikmat atau kesedihan, melainkan persediaan kita. Ini kerana persediaan kita itulah yang akan menentukan, apakah kehidupan ini akan kita akhiri dengan penuh keimanan kepada Allah, atau sebaliknya, Nauzubillah.
Pada saya, buku yang telah saya khatam ini sebenarnya buku yang serba sederhana. Namun usah cepat bingkas, kerana acapkali, kesederhanaan itulah yang lebih menyentuh dan meninggalkan bekas.
Kesederhanaan pertama yang saya temui pada buku ini adalah dari susunan bab-babnya. Hanya ada tiga bab utama saja dalam buku ini, iaitu ‘Berprasangka Baiklah Pada Tuhanmu’, ‘Iman Terhadap Takdir’ dan ‘Agar Anda Selalu Menang dan Bahagia’. Di dalam setiap bab ada subbahagian yang merupakan tajuk-tajuk kecil yang saling berturutan dan berkaitan, menyoroti setiap topik dengan santun dan tidak gopoh-gapah, dibumbui pelbagai kisah dari zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah apa yang kita sering hadapi pada masa kini. Di sinilah kesederhanaan itu bagi saya bertukar menjadi istimewa, kerana selitan kisah semasa membawa kedekatan masalah kepada kita, dan tidak meninggalkan kita terawang-awang mengenai peristiwa ratusan tahun lampau semata-mata. Dengan jelas, aplikasi ilmu sudah dinampakkan kepada kita secara bersahaja.
Selain itu, pendekatan pengarang yang menulis dengan bahasa yang sederhana, tetapi mengajak dan sesekali sedikit menggesa pembaca menempatkan diri dalam keadaan tertentu, turut memberi saya kesan. Mungkin ada segelintir yang tidak selesa dengan cara penulisan begini yang dianggap menggurui pembaca, tetapi saya tergolong di kalangan yang tidak kisah. Apatah lagi kalau membaca buku agama. Pada saya, kenapa tidak boleh pengarang itu menggurui saya, kalau ternyata saya memang layak menjadi muridnya? Dan bukankah membeli buku agama karangan sesiapapun, bererti kita telah sudi untuk digurui pengarangnya secara tidak langsung?
Dan benar, Syed Alwi Alatas telah banyak menggurui saya melalui buku ini. Saya rasa saya mampu melihat ujian Allah dengan kaca mata baru setelah menyudahkan bacaan. Saya ingat antara pengulangan yang ditekankan oleh pengarang dari sebuah hadis Rasulullah s.a.w., “Raihlah apa yang bermanfaat bagimu”, walaupun ketika itu kita sedang bergelumang dengan ujian. Dua kisah dari riwayat hidup Hasan Al-Banna dan Ummu Sulaim, sudah cukup untuk menjentik hati dan meninggalkan kesan.
Betapa juga, pandangan saya tentang beberapa hal yang saya anggap kecil (tetapi hakikatnya besar) mengenai takdir, selama ini terpendam begitu sahaja dan tidak berani saya terokai, ada jawapannya dalam buku ini. Saya ada kisah peribadi yang sangat berkait Bab 2 (Iman Terhadap Takdir). Sewaktu arwah Ayah saya meninggal di Mekah ketika usia saya 15 tahun selepas waktu haji, lima hari sebelum pulang ke Malaysia, saya sangat tertanya-tanya, kenapa doa dan tangisan saya dalam solat hajat setiap malam, sepanjang beberapa puluh hari arwah di sana (kecuali satu hari saya tertinggal), tidak dikabulkan Allah? Adakah kerana satu hari yang tertinggal itu?
Saya tahu, arwah Ayah sangat uzur ketika bertolak, malah doktor mahu membuat pembedahan pintasan jantung sebelum arwah berlepas, tetapi saya sangat tertanya-tanya, kenapa akhirnya arwah tidak dikurnia usia lebih panjang untuk pulang bertemu saya yang telah berdoa dan berdoa? Meskipun saya telah meredai pemergian arwah lama dahulu, tetapi saya selalu mencari jawapan yang memuaskan, yang dapat memberi ketenangan penuh mengenai masalah takdir ini, dan Alhamdulillah, buku ini menemukan saya dengan jawapannya. Ya, sebuah buku yang sederhana, tetapi menjadi sangat bermakna!
Akhirnya saya memahami, ada dua senjata penting dalam menghadapi kehidupan, tidak kira sewaktu dunia saya sedang bergolak, mahupun ketika dunia saya diempuki nikmat, iaitu sabar dan syukur. Saya berharap saya dapat menggunakan kedua-dua senjata ini pada masa sepatutnya dengan rahmat dan kurnia Allah. Penerangan panjang lebar pengarang dalam Bab 3 mengenai dua keperluan penting ini, akan mampu memberi kejelasan dan ruang lingkup baru pengamalannya.
Namun tidak dapat saya nafikan, buku ini mungkin tidak sebermakna seperti yang saya luahkan bagi orang lain, kerana sudut pandang manusia dalam hidup tentulah berbeza-beza. Apatah lagi, buku ini saya baca saat sedang menghadapi dugaan kehilangan, serta desakan pengalaman lampau yang mengesankan jiwa remaja saya 15 tahun lalu. Semua penilaian berbalik kepada diri kita, kerana diri kita semua bukanlah ‘tabula rasa’. Selain itu, mungkin juga pandangan saya yang sangat menyenangkan mengenai buku ini tercipta kerana saya telah terhutang budi menerimanya sebagai hadiah.
Walau bagaimanapun, satu kehampaan yang ingin saya bangkitkan mengenai buku ini, iaitu ayat-ayat Al-Qur’annya hanya ditampilkan dalam bentuk terjemahan sahaja, manakala ayat-ayat yang asli tidak dimasukkan bersama. Penghayatan ayat-ayat Al-Qur’an dalam bentuk asalnya bagi saya adalah penting dalam sesebuah buku agama. Ini sedikit sebanyak mencacatkan, saya kira. Barangkali keputusan pihak penerbit turut memainkan peranan dalam hal ini.
Labels:
Bila Allah Menduga Kita,
nikmat,
sabar,
syukur,
takdir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment