Tuesday, February 8, 2011

Bila ALLAH Menduga Kita - al-Assya


Bila ALLAH Menduga Kita

Posted by Muhammad Syahir Al-'Assya on 6:31 PM

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera


Alhamdulillah... Dalam kesempatan yang ada ini, ingin ana kongsikan sebuah kisah yang telah berlaku ke atas diri ana sendiri. Moga ia akan menjadi pengajaran buat ana yang semakin hari semakin jauh. Keinginan untuk berkongsi cerita atau kisah ini bukanlah sebagai langkah menunjuk-nunjuk atau sebagainya. Ianya hanyalah sebagai perkongsian sebagai pengiktibaran buat diri kita semua supaya tidak terlalai.


Melihat kepada tajuk yang dibawa pastinya pembaca sekalian seolah-olah pernah mendengar kan? Bila ALLAH Menduga Kita sebenarnya merupakan Judul bagi sebuah buku terbitan Mustread Sdn Bhd yang telah ditulis oleh Syed Alwi Al-Atas. Buku yang berharga RM 19.90 merupakan sebuah buku yang mesti dimiliki. Pada pandangan ana, buku ini cukup bagus dan padat dengan ilmu serta kualiti yang tersendiri apabila ia membicarakan tentang bagaimana kita hendak menghadapi sesuatu ujian itu sendiri. seperti sedia maklum bahawa, ujian itu boleh bersifat dan datang dalam bentuk musibah mahupun dalam bentuk nikmat. Jadi, adalah tidak rugi sekiranya kita berbelanja sedikit demi memiliki buku ini. Bagi memudahkan urusan, sahabat pembaca sekalian boleh mencari dan membeli buku ini di klik di sini

Baiklah, terus kepada fokus utama ana iaitu untuk berkongsi sedikit peristiwa yang cukup memberi kesan kepada ana. 27 Februari 2011 merupakan hari di mana ana akan menaiki bus bersama teman sahabat yang lain dalam perjalanan pulang ke kampung sempena dengan Cuti Tahun Baru Cina dan Cuti Mid-Semestar. Sepanjang perjalanan, ana telah teruji dengan berbagai ujian yang mana ia membawa ana untuk kembali berfikir mengenai kesilapan-kesilapan serta kemaksiatan yang telah ana buat.

Perjalanan ana dari UTM ke Kelantan kali ini terpaksa mengambil jalan lain daripada jalan yang biasa memandangkan kesesakan lalu lintas yang melampau sedang berlaku di Daerah Muar, Johor terutama di kawasan Tenang dan Labis memandangkan Pilihan Raya Kecil Dun akan berlangsung. Jalan yang dilalui kali ini agak berbahaya dengan lengkok dan bukit bukau serta ketiadaan lampu jalan yang menyebabkan jalan yang dilalui agak suram dan muram.

Alhamdulillah, walaupun perlajanan ana kali ini agak berbahaya, namun ana dan teman selamat tiba ke Kelantan. Dalam perjalanan kami, di Daerah Pasir puteh, iaitu di Jalan Pak Amat, sebuah kereta telah tersasar di atas jambatan. Alhamdulillah sekali lagi, walaupun melihat keadaan kereta yang agak remut setelah melanggar penghadang jalan yang berada di atas jambatan tersebut, pemandunya selamat. Kemalangan ini berlaku sekitar jam 5.30 pagi.

Perjalanan kami diteruskan dan Alhamdulillah kami selamat tiba di Perkarangan Kelantan Trade Center. Di sini berlaku satu lagi ujian. Takkala ana mahu turun dari bas, datang seorang mahasiswi mengadu kepada ana bahawa dia telah terlepas terminal yang mana sepatutnya dia turun di Jerteh, Terengganu. Ana sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil tahu soal kebajikan penumpang cuba berbincang dengan pemandu bus. Alhamdulillah, dipermudahkan sekali lagi oleh ALLAH SWT dan pemandu bus tersebut bersetuju untuk patah balik bagi menghantar mahasiswi itu tadi.

Jam pada waktu tersebut barulah sekitar 6.30 pagi. Memandangkan waktu Subuh telah masuk, ana dan sabahat pergi menunaikan Solat Subuh di masjid berdekatan. Nasib baik di Negeri Che Siti Wan Kembang ni banyak masjid. Jadi, senanglah urusan kami. Di masjid tersebut, sekali lagi ALLAH memberikan nikmatnya kepada ana kerana telah mempertemukan ana dengan sahabat lama yang sekarang ini merupakan Imam di masjid tersebut. Alhamdulillah...

Sementara menunggu ayah ana datang, ana dan sabahat pergi bersarapan di Restoran The Red Warriors yang tidak jauh dari situ. Lebih kurang jam 7.30 pagi, ayah ana tiba dan kami pergi ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu bagi mendengar Kuliah Dhuha memandangkan kuliah tersebut bermula sekitar jam 8.00 pagi.

Disebabkan terlalu penat, ana asyik tertidur sahaja semasa kuliah berlangsung. Disebabkan rasa kurang selesa dan malu pada Tuan Guru yang sedang mengajar, ana mengambil keputusan untuk pergi tidur di luar dewan solat di sebelah kanan masjid. Alhamdulillah, nyenyak betul ana tidur.

Disini sekali lagi ana diuji dengan dua perkara. Pertama semasa ana tidur, ana telah bermimpi bahawa ana telah kehilangan sesuatu barang yang amat bernilai pada ana memandangkan ianya adalah berkaitan dengan soal pengajian ana di Universiti. Dalam pada itu, ana hampir hilang akal kerana memikirkan soal barang ana yang hilang tersebut sehinggalah ana mengucapkan zikir dan berdoa kepada ALLAH moga dikembalikan barang tersebut, dan Alhamdulillah. barang tersebut telah ditemui. Ujian kedua adalah setelah ana bangkit dari tidur takkala tersentak dengan mimpi tadi, tubuh ana bagaikan orang lumpuh, seolah-olah ana tidak mempunyai kedua-dua belah tangan ana. Walau sejengkal pun ana tidak mampu untuk mengangkat tangan ana. Takkala itu, hati ana terus sahaja berdoa kepada ALLAH moga dijauhkan dari segala musibah dan ujian yang ana sendiri tidak mampu menghadapinya. Tak lama selepas itu, tangan ana kembali pulih dan ana kembali tertidur sebelum ayah ana mengejutkan ana untuk pulang ke rumah. Cadangannya sebelum pulang ke rumah, ana mahu pergi mendengar kuliah Tuk Guru di Perkarangan Medan Ilmu namun tak kesampaian apabila ayah ana mahu terus pulang kerana melihatkan ana yang agak keletihan.

Dalam perjalanan pulang. Ana bertembung dengan kemalangan yang kedua. Kemalangan kali ini adalah melibatkan lori barang dengan sebuah motorsikal yang dipandu oleh seorang wanita. Kelalaian dan perbuatan bahaya wanita tersebut telah menyebabkan mereka dilanggar. Status wanita tersebut tidak dapat ana kenal pasti memandangkan mereka berada di belakang kereta ana. Kemalangan kedua merupakan kemalangan yang hampir berlaku. Kali ini antara kereta ana dengan kereta seorang wanita muda di kawasan Panji, Kota Bharu. Wanita tersebut yang tidak menoleh ke arah kiri dan kanan terus melulu untuk keluar dari simpang tiga menyebabkan kami yang berada di jalan lurus ini hampir melanggar wanita tersebut. Namun, Alhamdulillah, kemalangan tersebut tidak berlaku dan kami selamat.


Perjalanan diteruskan dan Alhamdulillah, ana selamat tiba ke rumah.


Antara pengajaran yang boleh diambil:-
1.Kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmatNya
2.Hendaklah kita kembali kepada ALLAh dalam apa jua keadaan
3.Kita mestilah istiqamah dalam beribadah
4.Janganlah kelalaian itu mengusai diri kita
5.Bersabar dalam setiap perkara yang dibuat
6.Jangan bertindak melulu
7.Berusaha meningkatkan keimanan dari hari ke hari dan bukannya merosakkannya
Sekian dari ana. Wassalam


ikhlas dari
Muhammad Syahir Al-'Assya

http://penassya.blogspot.com/2011/01/bila-allah-menduga-kita.html

No comments: