Sunday, July 11, 2010
Kisah si Anak Kecil
Kisah si Anak Kecil
By: Mohd Zamri
Pernahkah kita mendengar seorang anak kecil membantah keputusan orang tuanya? Orang tuanya memaksa dia makan ubat yang sangat pahit demi untuk menyembuhkan anaknya yang sedang sakit. Tetapi si anak kecil menangis dengan nada marah-marah. “Ibu jahat!” Pekiknya marah sambil menangis. Pada pendapat anda, adakah si ibu benar-benar seorang yang jahat atau si ibu sedang bertungkus lumus berusaha untuk kebaikan si anak itu? Ya saya yakin kita mempunyai jawapan yang sama. Si ibu sama sekali tidak berniat jahat pada si anak, malah dia hendak menyembuhkan anaknya dari penyakit yang merbahaya.
Jadi kenapa pula anak itu menangis dan marah-marah? Mengapa dia menuduh ibunya berlaku tidak baik padanya? Ya saya juga percaya, jawapan kita kali ini juga sama, kerana anak itu masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Kemampuan berfikir dan ilmu yang dimiliki si anak belum mampu menjadikannya memahami hakikat dari tindakan si ibu, sehingga kebaikan dilihat sebagai keburukan. Kelak jika si anak sudah dewasa, pasti dia memahami dan tidak lagi menyatakan bantahannya, malah dia akan menerimanya dengan penuh terima kasih. Semua kesakitan dan penderitaan adalah untuk kebaikan si anak itu. Walaupun menangis dan meronta minta dilepaskan, dia tetap akan disuntik dengan jarum suntikan. Semua itu demi kebaikannya, kebaikan yang belum difahaminya ketika itu. Kebaikan kadangkala terasa menyakitkan, ingatlah perkara itu baik-baik.
Kini perhatikanlah kehidupan kita seharian. Hitunglah keluhan-keluhan serta nada bantahan kita terhadapNya. Tidakkah kita dilihat seperti seorang anak kecil? Tidakkah kita merasa malu dengan keadaan diri seperti itu? Allah adalah Tuhan semesta alam, Tuhan yang Maha Mengetahui dan kita hanyalah hambaNya. Allah mengetahui dan pengetahuanNya tidak boleh dibandingkan dengan doktor atau ahli nujum sekalipun. Sebagai seorang hamba, kedudukan kita terhadapNya jauh lebih rendah dibandingkan kedudukan seorang anak dihadapan ibu atau doktor.
Sources: Bila Allah Menduga Kita; Syed Alwi Alatas
http://www.zamrii.com/2010/06/motivasi/kisah-si-anak-kecil/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment