Bila Allah Menduga Kita
Monday, October 22, 2012
Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Ur Atiqah Bt Mat Samadi
No Matrik : 2012618418
Kumpulan : CSD1Cf
Diploma Sains Komputer.
1.0 Abstrak
Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu “ Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan menurut kemampuan hamba itu sendiri”. Jika terdapat individu yang sedang menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan pastinya dapat mengambil iktibar serta pengajaran daripada buku BILA ALLAH MENDUGA KITA apabila membacanya dengan penuh penghayatan pada setiap ungkapan yang cuba disampaikan oleh penulis. Penulis menyampaikan penulisannya dengan bahasa yang mudah dan senang difahami oleh para pembaca.
Kisah-kisah yang terdapat dalam buku ini sangat menarik dan membuatkan pembaca menyedari bahawa diluar sana masih ada insan-insan yang kurang bernasib baik dan kehidupan mereka lebih sukar untuk dibandingkan dugaan yang kita terima daripada Allah SWT. Kita juga dibawa untuk berfikir untuk mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT walaupun sekecil zarah nikmat yang dikurniakan kepada kita. Secara tidak langsung penulis menyedarkan para pembaca bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Keseluruhannya, buku ini lebih terperinci membincangkan topik mengenai aspek-aspek kehidupan manusia seharian serta permasalahan dan persoalan yang menyelubungi dalam diri individu serta masyarakat.
2.0 Pendahuluan
Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah SWT yang masih memberikan kesempatan buat saya untuk menghirup udara di bumiNya. Tujuan saya menulis esei ini adalah untuk melaksanakan tugasan kerja kursus CTU 101 yang telah ditugaskan oleh pensyarah saya iaitu Ustaz Abd Aziz B. Harjin. Oleh itu, saya telah memilih buku BILA ALLAH MENDUGA KITA yang ditulis oleh Syed Alwi Alatas. Terlebih dahulu saya telah membaca buku ini sebelum meringkaskan kandungan yang terdapat dalam buku ini. Buku ini diselitkan dengan pelbagai input yang bernas,kisah-kisah benar yang boleh menjadi pengajaran dan terdapat tauladan yang boleh digarap oleh pembaca. Secara konklusinya,kandungan buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat kerana penulisannya memberikan kekuatan kepada para pembaca yang sedang menghadapi kesusahan dan mengingatkan individu tentang hakikat yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
3.0 Biodata penulis
Syed Alwi Alatas. Dilahirkan pada 1 September 1974 di Jakarta, Indonesia. Alwi Alatas telah pun menulis 19 buah buku, kebanyakannya telah dicetak di Indonesia. Beliau menerbitkan buku di Malaysia pada awal 2010. Buku-bukunya adalah berkenaan sejarah, keremajaan, agama, motivasi, cereka dan bukan fiksyen. Beliau menjadi ketua Forum Lingkar Pena (FLP) Malaysia dari 2008 -2010. Pada masa itu, dia melakukan PhD di International Islamic University Malaysia (IIUM).
4.0 Sinopsis buku
Isi kandungan buku ini terbahagi kepada 3 topik perbincangan utama. Setiap topik mempunyai tajuk-tajuk kecil dibawahnya. Pada pendahuluan, penulis mempersoalkan pelbagai pertanyaan kepada diri pembaca mengenai kesusahan dan dugaan yang pernah dilalui oleh diri pembaca. Sudah semestinya setiap kita pernah menghadapi masalah. Selain itu, para pembaca diberikan beberapa contoh dan kisah benar yang berlaku terhadap individu lain yang menjadikan pembaca merasakan dugaan mereka itu jauh lebih susah daripada kesusahan yang kita lalui. Sebagai contoh kisah yang terdapat dalam buku ini (muka surat 6-7), penulis menceritakan mengenai kejadian Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2006 di Aceh. Kejadian ini menyebabkan ratusan ribu menjadi korban Tsunami dan mereka kehilangan harta benda,keluarga,dan berlaku kemusnahan. Bagaimanakah dugaan ini perlu dilalui oleh mereka yang berada di sana? Mereka terpaksa berpisah dengan insan yang tersayang, hilang segala harta benda yang dimiliki dan perlu membina hidup yang baru. Dugaan Allah SWT yang tidak diketahui ini perlu diterima dengan redha kerana setiap ketentuan dari-Nya telah ditetapkan. Begitulah antara isi penulisan yang terdapat dalam kisah ini.
Sesungguhnya, jika ditanya pada diri kita mampukah kita menerima ujian Allah SWT seperti ujian yang diberikan kepada masyarakat Aceh itu, pastinya ada di antara kita tidak sanggup atau bersedia untuk diuji dengan dugaan tersebut.Walau bagaimanapun,tidak semestinya kita akan menerima dugaan secara berterusan. Kita sebagai hambanya akan merasai juga kenikmatan, kemewahan, kesenangan daripada Allah SWT. Itu semua bergantung kepada ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah. Ada juga ujian Allah melalui nikmat yang diberikan oleh-Nya. Allah mahu menguji keimanan hambanya menerusi kenikmatan-Nya. Terdapat firman Allah SWT di dalam Al- Quran, “Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari kami dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaran. Sebenarnya itu adalah ujian,tetapi kebanyakkan mereka itu tidak mengetahui.[az-Zumar:49]”
Selain itu, pada akhir topik ini, diselitkan juga nasihat daripada penulis yang memesan kepada diri pembaca supaya tidak mengkhuatiri dengan ujian dan persoalan yang datang kerana menjadi lumrah kehidupan sebagai seorang manusia di muka bumi Allah ini. Kesimpulan pada topik in,penulis menekankan bahawa kita janganlah menyalahkan Allah SWT terhadap dugaan yang kita terima kerana itu telah ditakdirkan buat diri kita. Sama ada kita suka atau tidak mengenai sesuatu kejadian itu, perkara itu perlu diterima dengan hati yang terbuka dan belajar menerima dengan hati yang penuh sabar seperti mana Firman Allah “Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaiu,wanita –wanita,anak,anak, harta yang banyak dari jenis perak,emas,kuda pilihan,binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik. [Ali-Imran:14]”
Topik 1 : Berprasangka Baiklah Pada Tuhanmu. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, “Sesungguh-nya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah kepadamu dan jika kamu mengingkari maka sesungguhnya azabKu sangat pedih. [Ibrahim:7] ”. Penghuraian penulis dalam topik ini cukup menyedarkan pembaca daripada kelalaian diri sebelum ini. Penulis menyuruh pembaca supaya merenungkan apakah kewajaran untuk kita mempersoalkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tiada kuasa bagi kita untuk melakukan perkara tersebut walaupun sering kali kita sentiasa menyalahkan dan berprasangka buruk terhadap Allah. Ini disebabkan sifat manusia itu sendiri,iaitu makhluk yang sering dan suka untuk mengeluh kerana hal-hal yang tidak disenangi. Walaupun pelbagai nikmat yang telah diterima kita masih lagi mengeluh kerana tidak mengingati dan bersyukur kepada Allah SWT. Itulah kesilapan diri manusia,mudah lupa untuk bersyukur. Dalam topik ini lagi, pembaca akan tertarik pada ucapan Al-Shadiq Al-Mashduq (muka surat 28) yang diselitkan oleh penulis iaitu katanya “ Raihlah pada yang bermanfaat bagimu,minta tolonglah kepada Allah dan jangan bersikap lemah ”.
Penulis mengatakan terdapat tiga langkah luar biasa menerusi ayat tersebut dan langkah tersebut boleh menjadi pembimbing dalam kehidupan kita. Ayat tersebut mempunyai maksud tersirat yang mendalam untuk dijadikan pedoman dan membantu untuk menjalani kehidupan seharian. Penulis turut menghuraikan lebih lanjut,satu per satu mengenai langkah ini kepada para pembaca supaya pembaca lebih memahami maksud disebalik ayat ini sebaiknya. Pada akhir topik ini, pembaca akan menyedari kesilapan diri kerana penulis menasihati pembaca supaya belajar menerima apa jua yang terjadi pada diri. Tiada guna untuk menyesali dan menangisi atau sedih terhadap ketetapan dan takdir dariNya.
Topik 2 : Iman Terhadap Takdir. Penulis menerangkan bahawa takdir ialah ketetapan Allah atas manusia berupa hal-hal yang baik atau hal-hal yang kurang baik. Penulis mengajak pembaca supaya lebih memahami tentang takdir yang merupakan perancangan Allah SWT kepada diri manusia. Bak kata pepatah, “Manusia hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan”. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mengetahui. Allah menduga kita dengan takdir nikmat dan dugaan.Individu yang menerima takdir nikmat juga merupakan ujian Allah untuk diuji kekuatan iman dirinya sama ada dirinya mensyukuri nikmat yang diberikan walaupun sedikit ataupun menjadi lebih riak kepada Allah apabila dikurniakan kemewahan dan kenikmatan. Manakala apabila takdir dugaan yang menimpa diri, diuji hambaNya adakah mereka ini kuat untuk menghadapi ujian tersebut dengan memohon pertolongan kepada dan yakin kepada kekuasaan Allah SWT atau sebaliknya. Segalanya bergantung kepada diri sendiri untuk menangani ujian yang telah ditakdirkan buat diri manusia.
Seharusnya kita berusaha untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi dan Islam juga menyarankan setiap mukmin agar bekerja keras dan disertai kemahuan yang tinggi untuk berjaya. Allah juga memerintahkan kita untuk bekerja serta beramal mulia. Segala amal kita bukannya sia-sia kerana Allah Maha Melihat dan akan mengira amal yang dilakukan diakhirat. Benarlah apa yang dikatakan oleh Allah SWT menerusi firmaNya, “Dan katakanlah,”Bekerjalah kamu,maka Allah dan rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata,lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. [at-taubah:105]”
Terdapat manfaat di sebalik takdir Allah ini supaya kita sentiasa tunduk dan meminta pada pertolongaNya,supaya kita takut dengan azab seksa Allah,serta supaya kita cinta dan sayang pada Allah Maha Esa. Penulis mengingatkan pembaca sekali lagi supaya jangan bersedih menghadapi dugaan dengan memetik ayat ini “Sungguh segala sesuatu itu milik Allah dan akan kembali kepadaNya”. Maksudnya setiap apa yang diciptakan oleh Allah akan kembali padaNya di akhirat kelak. Penulis juga mengulas mengenai sifat bersederhana yang diajar dalam Islam. Segala berbuatan yang dilakukan, lakukanlah dengan cara yang bersederhana kerana mendapat pelbagai faedah yang diperoleh dalam kehidupan manusia. Tentang sikap sederhana ini Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “...dan sentiasalah bersikap pertengahan sederhana,hasil yang akan diperoleh dengannya,kamu akan mencapai sasaranmu(syurga). [Hadis Riwayat Bukhari]”. Antara hikmah lain yang boleh di pelajari dari persoalan takdir iaitu tidak semestinya yang disukai itu akan menjadi bagus buat diri manusia, dan tidak semestinya yang tidak disukai itu tidak baik buat diri manusia. Allah telah menentukan perjalanan manusia, dan diri manusia perlu memilih untuk pastikan perjalanan itu lurus menuju jalan Allah SWT.
Topik 3 : Agar anda Selalu Menang dan Bahagia. Penulis memberikan cara dan langkah kepada para pembaca untuk menjadi insan yang bahagia apabila diuji oleh Allah. Melalui topik ini penulis membantu pembaca dengan menyatakan terdapat dua kunci kebahagian iaitu syukur dan sabar atas ujian yang telah ditimpakan oleh Allah kepada manusia. Kedua-dua kunci ini memberikan kebahagiaan dan merupakan kesempurnaan bagi agama seseorang dan akhirnya membawa orang-orang yang memilikinya pada kehidupan yang tenteram dan menyenangkan. Sementara dalam buku ini terdapat ayat dari Abdullah bin Mas’ud r.a (muka surat 112) katanya “Iman adalah dua bahagian,satu bahagiannyaa ialah sabar dan sebahagian lagi ialah syukur”. Dengan demikian akan menjadi sempurna keimanan seseorang sekiranya dia memiliki kedua kriteria ini. Penulis menghuraikan lagi bagaimana untuk bersabar dan bersyukur dengan cara yang sewajarnya. Dalam bersabar, penulis memberikan contoh kisah Nabi Ayub. Nabi Ayub diuji oleh Allah dengan kekayaannya musnah,anak-anaknya meninggal dunia serta dirinya terkena penyakit parah sehinggakan isterinya meninggalkan dirinya ketika sakit. Akan tetapi Nabi Ayub masih bersabar dan menjalani dugaan Allah SWT dengan tenang kerana mengetahui Allah SWT yang hanya mampu memberikan pertolongan kepada dirinya. Dirinya tidak pernah mengeluh bahkan menjadikan dirinya semakin dekat dengan Allah. Dengan kekuasaan Allah, Nabi Ayub sembuh dan Allah menjadikan keadaan dirinya lebih baik dari sebelumya. Kesabaran Nabi Ayub mendapat balasan daripada Allah SWT kerana Allah bersama dengan orang-orang yang sentiasa sabar. Firman Allah SWT, “ Hai orang-orang yang beriman,jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu,sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. Sabar itulah menjadi kekuatan dalam diri seseorang.
Topik perbincangan ini juga menegaskan para pembaca supaya jangan mudah berputus asa dengan Allah SWT. Sesungguhnya Allah melarang hambaNya dari berputus asa terhadapt rahmatNya kerana orang yang berputus asa ini disifatkan Al-Quran sebagai orang-orang yang kafir dan sesat. Pada pengakhiran topik ini, penulis menyuruh pembaca supaya melatih diri agar memiliki kedua sifat yang positif iaitu syukur dan sabar. Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi dengan bersyukur dengan lidah,hati dan perbuatan dan memohon pertolongan kepadaNya dengan meminta agar diri kesabaran dan rasa syukur.
5.0 Penutup
Buku ini memberikan pelbagai pandangan,kisah,nasihat serta menjelaskan secara terperinci apakah jalan penyelesaian yang diberikan oleh Islam terhadap masalah hidup kepada pembaca supaya pembaca boleh mengambil dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kalau kita memahaminya dengan baik buku ini, InsyaAllah permasalahan yang dihadapi dapat diuruskan dengan cara yang sesuai. Buku ini juga mengajak para pembaca supaya jangan memertikaikan dugaan yang diterima sebaliknya bagaimana seseorang individu itu menerima dan memikirkan penyelesaian terhadap dugaan yang ditimpakan pada dirinya.Selain itu, pelbagai contoh kisah benar,hadis dan firman Allah serta kata – kata hikmah menjadikan pembaca lebih memotivasikan diri sendiri menerusi kisah tersebut.Pembaca akan menyedari terdapat individu atau masyarakat diluar sana yang lebih susah diduga dan mengalami kesulitan yang berat. Jika mahu dibandingkan masalah yang kita hadapi, kita seharusnya bersyukur kerana tidak mendapat ujian seberat seperti orang lain. Sesungguhnya Allah tidak akan memberikan sesuatu ujian jika hambaNya tidak dapat menampung ujian itu kerana Allah itu Maha Mengetahui serta Maha Pengasih. Secara tutasnya, penulisan yang terdapat dalam buku ini dapat membantu seseorang itu keluar daripada permasalahan serta membuka minda pembaca untuk melihat dan berfikir bahawa setiap dugaan itu mempunyai penyelesaiannya dan terdapat hikmah disebalik dugaan yang dihadapi.. Semuanya bergantung kepada individu untuk mencari jalan penyelesaian atau meredhai saja pada ketetapan Allah. Tepuk dada tanya pada iman.
Posted by السلام عليكم ورحمة الله at 3:07 AM
http://azizbinharjin2012.blogspot.com/2012/10/bila-allah-menduga-kita.html
No comments:
Post a Comment