Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum wahai pengembara blog saya? Harap kalian sentiasa diberkati dan selamat di dunia dan Akhirat.
Sebenarnya baru sebentar tadi saya membaca sebuah buku bertajuk ‘Bila Allah Menduga Kita’ karya Syed Alwi Alatas (saya belum habis membacanya, Insya Allah, esok disambung lagi). Walau belum habis dibaca tapi saya teruja untuk memberitahu perasaan saya saat ini setelah membaca bukunya. Mungkin kalian mengagak bahawa isinya tidak bagus atau kata orang puteh ‘best’ kerana beranggapan saya tidak membacanya sampai habis. Kalau itu anggapan kalian, maafkan saya kerana saya menafikan prasangka kalian tersebut. Terus terang saya katakan bahawa saya memang seronok dan teruja untuk membacanya hingga selesai tetapi saya tidak mahu menghabiskannya secara terburu-buru kerana setiap kata-kata yang dilontarkan oleh pengarang memerlukan saya untuk berfikir dan mengingati pula kehidupan saya di masa silam, sekarang dan masa depan. Kerana itulah saya tidak mahu terburu-buru untuk menghabiskan pembacaan saya.
Ada suatu yang menarik dalam buku ini iaitu berkenaan persoalan tentang takdir. Manusia selalunya mempersoalkan itu dan ini sebagai takdir. Malah jika berlaku sesuatu yang tidak baik, maka takdir akan disalahkan. Saya tertarik dengan kisah Maryam, ibu Nabi Isa r.a yang diceritakan oleh pengarang dalam buku ini lalu dikaitkan dengan takdir yang sedang dibincangkannya. Katanya saat Maryam hampir melahirkan anak Allah memerintahkan beliau agar mengoncangkan pokok kurma yang didudukinya. Maka Maryam menepuknya dan buah kurma itu jatuh kemudian beliau memakannya. Jika diikutkan logik akal, mana mungkin dia boleh menjatuhkan buah kurma itu dengan keadaannya yang lemah dan kalau dikira logik, batang kurma yang digoncangkannya itu pun besar, tak mungkin akan bergoncang apalagi yang menepuknya adalah seorang wanita yang kudratnya tidak sekuat lelaki. Malah mungkin lelaki pun tidak mampu menjatuhkan buah tersebut dengan mengoncangkan batangnya yang besar. Untuk mengambil buahnya kita mesti memanjatnya bukan?
Sesungguhnya kisah di atas mengajar kita untuk percaya dengan peranan Allah swt dalam menetapkan usaha-usaha yang kita lakukan. Kita wajib percaya bahawa setiap hasil usaha yang kita lakukan adalah kerana kehendak Allah swt. Allah berhak menggagalkannya ataupun sebaliknya. Sesungguhnya Allah swt tidak akan mensia-siakan apa segala sesuatu yang kita kerjakan walaupun sekecil manapun usaha kita. walaupun ianya tidak mampu atau tidak logik dalam pandangan kita. Namun selalunya manusia selalu menganggap bahawa hasil dari usahanya yang dilakukannya disebabkan kesungguhan dan usaha yang dia lakukakan padahal Allahlah yang berperanan penting di sebalik semua itu. Pernahkah peristiwa-peristiwa sebegini berlaku dalam diri kita? misalnya, kita ditemuduga oleh beberapa orang untuk mendapatkan suatu pekerjaan. Ketika ditemuduga, kita tidak yakin dengan jawapan-jawapan yang kita berikan terhadap soalan yang dilontarkan, dan apabila selesai ditemuduga kita berasa bahawa kita akan gagal.
Namun apabila keputusan keluar, kita mengetahui bahawa kita lulus dalam temuduga tersebut. Tentunya ia memberikan kita satu sinar kegembiraan dan mungkin ia membawa kita untuk percaya bahawa bukan semua yang kita fikirkan akan terjadi. Oleh itu seharusnya kita mesti bersangka baik dan bersikap positif. Kita seharusnya berserah diri kepada Allah, kerana Allahlah yang menetapkan sesuatu itu dengan kuasa yang ada pada-Nya. Ada kalanya, orang yang tidak yakin dengan jawapannya lulus dalam temuduga dan adakalanya orang yang sangat yakin dengan jawapannya, gagal dalam temuduga kerana seperti yang saya katakan tadi, Allah swt itu Maha Mengetahui. Tapi bagi yang gagal jangan salahkan Allah swt kerana percayalahlah, ada secebis kebaikan yang kita temui di sebalik kegagalan kita, kalau bukan hari itu mungkin di hari yang lain.
Untuk lebih adil, biarlah saya ceritakan kisah saya hari ini ( ada kaitan dengan topik ini juga). Pagi tadi saya ke sekolah untuk kerja-kerja menceriakan bilik guru. Sedang mengemas meja di belakang, terpandang beberapa buku cerita yang agak menarik bagi saya. Niat di hati saya mahu meminjamnya untuk di baca di rumah (masa membaca di sekolah sangat terhad), tapi hati saya berbelah bagi kerana merasakan tidak manis meminjam sesuatu tanpa ada keizinan dari pemiliknya walaupun buku-buku itu hak milik sekolah. Kerana malu untuk meminta kebenaran dari guru-guru yang ada di situ, maka saya pendamkan hasrat tersebut. Kecewa? Memang saya kecewa tapi saya cuba bersikap positif dan menganggap ada hikmah di sebalik semua ini. Kemudian tengah hari saya balik rumah, terpandang beberapa buah buku di dalam rak-rak buku milik rakan serumah. Salah satunya buku syed alwi alatas ini. Sangkaan pertama saya merasakan buku ini tidak menarik apabila melihat tajuknya yang tidak menarik bagi saya.
Namun saya paksakan tangan ini untuk mengambil dan membelek-beleknya apabila memikirkan kata-kata “jangan lihat luaran tapi lihat dalamannya”. Nak tahu, buku yang saya anggap tidak menarik inilah yang menyebabkan masa lapang saya petang ini terisi dengan ilmu yang ada padanya hingga membawa saya untuk berkongsi dengan kalian. Benar kata-kata ini “jangan tengok luaran tapi tengoklah dalamannya.” Malah kekecewaan saya terus lenyap diganti dengan kegembiraan. Saya bersyukur kepada Allah swt kerana membuka hati saya untuk membelek buku ini. memang ada hikmahnya. Jika saya membawa buku-buku cerita dari sekolah tadi mungkin saya hanya seronok dan khayal dengan kisah pengembaraan watak 3 penyiasat dalam cerita tersebut tetapi berbeza pula dengan buku ini, selain saya mendapat suntikan motivasi, ia juga memberikan saya jawapan-jawapan kepada pertanyaan yang sering berlegar dalam kepala selama ini malah, saya juga mendapat sesuatu yang sangat berharga, yang tidak dapat ditemui dalam buku cerita tadi. Suatu yang sangat berharga itulah yang saya kongsikan kepada kalian.
# Tajuk yang dah lama bersemadi dalam simpanan saya akhirnya baru sekarang dikeluarkan dari bilik kebal.
Posted by DIARI SANG PENYAIR at Saturday, June 09, 2012
Labels: Bicara Kehidupan
http://sujanakondorid.blogspot.com/2012/06/yang-tersirat-di-sebalik-takdir-allah.html
No comments:
Post a Comment